Tuesday 19 March 2013

BAWA BUDAK MENGEMBARA?

Ini kali pertama kami membawa anak mengembara ke luar negara. Bukan apa, budak-budak ni boleh melambatkan pergerakan bila mengembara (disamping penambahan kos). 

Kali ni, kami cuba bawa Humairah. Alhamdulillah, dia boleh cope dengan itenary kami, boleh sesuaikan diri dengan cuaca sejuk dan boleh sesuaikan diri dengan makanan di Jepun. Malah dia banyak membantu (selalunya kami suruh dia beratur beli barang dan bawa barang-barang kecil). Walaupun Humairah baru 6 tahun, diharap, trip ini memberikan memori yang indah kepada Humairah sebagai tanda kasih sayang kami berdua.

Insyaallah next trip giliran anak-anak lain pula (ada 3 orang lagi anak menunggu giliran!) Tak sesuai bawa lebih dari seorang anak setiap kali mengembara. Makin ramai ahli kembara, makin lambat pergerakan dan makin tinggi kos!

Humairah bersama pekerja wanita yang bertugas untuk keretapi Shinkansen. Saya perhatikan, staf keretapi ini akan tunduk hormat kepada setiap keretapi yang baru tiba di stesyen. Begitulah disiplin kerja dan tanda hormat mereka kepada keretapi yang menjadi simbol kerjaya mereka. Dalam gambar ini, wanita berkenaan sedang membuat pengumuman dan mempersilakan penumpang naik ke keretapi (agakan saya, saya tidak faham Bahasa Jepun!) menggunakan sistem wireless microphone.

Musim Sejuk di Jepun



Trip kami ke Jepun bermula dari 5-17 Disember 2011, lebih kurang selama 14 hari. Waktu ini musim sejuk di Jepun. Suhu sekitar 15 darjah celcius pada waktu siang,sebelah malam pula suhu boleh turun serendah 8 darjah celcius. Jika keadaan berangin, cuaca akan terasa lebih sejuk. Ketika musim sejuk, waktu siang adalah pendek. Matahari terbit sekitar jam 7.00 pagi dan waktu Maghrib akan masuk pada sekitar jam 4.30 petang. Maknanya, pukul 5.00 petang, langit dah gelap. Suhu di sini akan menjadi lebih sejuk pada sekitar bulan Februari dimana ia akan mencapai peak winter

Bersama Humairah di stesyen keretapi Shinkansen (Bullet Train) Kami menaiki keretapi ini dari Kyoto untuk pulang ke Osaka. Keretapi ini boleh mencapai kelajuan sekitar 300 km/h. Perjalanan sejauh 600 km (seperti dari Johor ke Pulau Pinang) hanya mengambil masa sekitar 2 jam. Perkhidmatan Shinkansen sangat cekap dan keretapi jarak jauh boleh didapati dengan kerap. 2 fakta menarik mengenai Shinkansen:

1) Sejak Shinkansen diperkenalkan di Jepun (kalau tidak silap sejak 1960an) tidak pernah ada kemalangan nyawa direkodkan. Ini bermaksud, sistem pengurusan keselamatan yang amat cekap.

2) Ketibaan dan perjalanan keretapi Shinkansen adalah sangat tepat mengikut masa. Malah, ada orang mengatakan, anda boleh membetulkan jam berpandukan ketibaan keretapi Shinkansen!

Memang dah lama saya teringin nak naik Shinkansen - sejak saya melihat gambar ayah saya menaiki Shinkansen semasa beliau berkursus di Jepun pada sekitar tahun 1980an. Semasa di Jepun, kami berpeluang menaiki berbagai jenis Shinkansen sebanyak 6 kali. Tiket Shinkansen adalah mahal. Untuk berjimat, anda perlu beli JR Rail Pass sebelum berangkat ke Jepun.


Bersambung...

Beza Pelancong dengan Pengembara


BEZA PELANCONG DAN PENGEMBARA

Ada perbezaan diantara pelancong (tourist) dengan pengembara (traveller) Pelancong pergi ke tempat menarik dengan cara yang selesa. Tujuan melancong ialah lebih kepada menenangkan fikiran dan berehat. Biasanya pelancong akan pergi ke sesuatu tempat yang telah dirancang dan dibimbing oleh Tour Agent. Hotel dan pengangkutan semuanya telah disiapkan. Jadi, kos melancong biasanya lebih tinggi dari kos untuk mengembara.

Pengembara pula pergi ke sesuatu tempat yang menarik dengan tujuan untuk mendapat pengalaman baru dan mengenali dengan sebenarnya keadaan di sesuatu negara dan budaya mereka, termasuklah membuat kawan baru. Keselesaan bukanlah satu keutamaan dalam mengembara, tetapi cabaran dan pengalaman unik yang akan menjadi keseronokannya. Pengembara tegar seperti golongan backpackers misalnya akan mengembara dalam tempoh masa yang lama (3 hingga 6 bulan) dengan cara yang paling murah dimana selain menjimatkan kos, mereka dapat merasai kehidupan sebenar masyarakat kebanyakan di sesuatu tempat. Dengan kos rendah ini juga, mereka dapat pergi ke lebih banyak tempat atau lebih banyak negara.

Di stesyen keretapi Shin-Imamiya di Osaka untuk menuju ke Kyoto. Kyoto adalah bekas ibu negara Jepun - sebuah bandar yang cantik dan lebih tenang berbanding Tokyo atau Osaka. Banyak bangunan lama dan tradisi Jepun boleh dilihat di Kyoto.

DARI PELANCONG KE PENGEMBARA

Saya mula bercuti ke luar negara sebagai aktiviti tahunan pada sekitar tahun 2004. Tempat pertama yang saya dan isteri pergi pada waktu itu adalah Bali. Tetapi pada ketika itu kami adalah sebagai pelancong (tourist) Tinggal di hotel/resort yang selesa dan siap dengan pemandu pelancong private yang membawa kami ke beberapa tempat pelancongan. Boleh katakan, macam orang kayalah pada waktu itu, sebab matawang Rupiah adalah jauh lebih rendah dari Ringgit Malaysia. 

Tahun demi tahun, kami pergi ke negara yang lebih jauh dengan tukaran matawang yang makin tinggi. Maka, kami tidak lagi boleh jadi pelancong 'kaya' seperti di Bali atau seperti di Bangkok. Dari situ, kami belajar cara untuk menjimatkan kos ketika mengembara. Caranya ialah mengikut teknik yang digunakan golongan backpackers. Kami hanya membeli tiket penerbangan murah, selalu tinggal di asrama (backpackers hostel), kurangkan shopping di luar negara dan membuat perancangan rapi sebelum mengembara bagi memaksimakan masa dan wang. Kami juga akan cuba elakkan pergi ke restoran/kedai/tempat yang mahal. Ada banyak tempat yang murah/percuma tetapi menarik jika kita pandai mencari di internet.

Tetapi, kami belum sampai tahap seperti seorang backpackers yang sejati yang penuh dengan adventure; mungkin menuju ke arah itu. Adakalanya, kami juga beraksi seperti pelancong apabila mengembara.

Di Steam Locomotive Museum berhampiran Kyoto. Betapa walaupun Jepun telah maju, tetapi mereka tetap memelihara warisan sejarah mereka. Di muzium ini, ada beberapa steam lokomotif dari tahun 1940an yang masih beroperasi.

Bersambung...

Pelancong atau Pengembara?


Setiap tahun, saya dan isteri akan berusaha untuk mengembara ke luar negara. Biasanya kami akan merebut peluang tiket kapal terbang murah dari promosi oleh Air Asia. Biasanya tiket dibeli sekitar 6 bulan atau setahun lebih awal. Selalunya, waktu beli tiket, bajet untuk perbelanjaan ketika di luar negara belum ada. Tapi, disebabkan tiket sudah dibeli, kami akan berusaha untuk kumpul duit yang diperlukan. Tiket yang sudah dibeli itu juga memberikan motivasi untuk kami bekerja. Begitulah kami mengembara setiap tahun.

Anda tidak akan faham keseronokan dan faedah mengembara jika anda tidak pernah mengembara. Macam makanan juga. Kalau orang kata sesuatu makanan itu sedap, kita tidak akan dapat tahu betapa sedap rasanya jika kita sendiri tidak memakan makanan tersebut. Jika anda ada minat mengembara, usahalah untuk peringkat awal pergi ke negara yang terdekat dahulu. Tetapi, perlu diingat, semakin jauh negara yang kita pergi lebih seronok dan lebih berharga pengalaman yang diperolehi disebabkan lebih banyak perbezaan yang terdapat diantara negara kita dan negara yang lebih jauh.

Tetapi, mengembara hanya untuk orang yang minat sahaja. Bercerita mengenai pengembaraan kepada orang yang tidak minat mengembara, ibarat bercerita mengenai bolasepak kepada orang yang hanya minat main badminton.

Berjalan-jalan waktu malam di sekitar hotel kami di kawasan Shin-Imamiya, Osaka. Osaka adalah bandar kedua terbesar selepas Tokyo.

Bersambung...

Beli Lesen Muzik


Janganlah biasakan curi hak orang lain. Cukup-cukuplah melanun. Tak kiralah samada mencuri gambar, mencuri artikel atau mencuri muzik. Ini semua karya penat lelah orang lain. Kita pun tak suka kalau orang rompak karya dan penat lelah kita kan?

Sesiapa yang nak pakai muzik secara sah dan halal, 'belilah' dari audiojungle ni. Muzik di sini adalah royalty free dan dilesenkan dengan harga yang rendah. Elok sangatlah untuk korang yang nak guna muzik untuk video montage, video presentation dan sebagainya. 

InsyaAllah, tanpa melanun, rezeki lebih berkat.

Sipolan Bin Sipolan